Friday 18 November 2011

SENI DALAM HIDUP. HIDUP DALAM SENI


Tahukah anda bahawa benda-benda yang terdapat di sekeliling kita adalah bahan-bahan  yang baik untuk digunakan dalam subjek Pendidikan Seni Visual? Marilah kita bersama-sama menghayati  imaginasi murid-murid yang menakjubkan serta belajar bagaimana menggunakan daun-daun yang gugur atau kering dan menggunakan semula bahan buangan seperti beg plastik dalam Pendidikan Seni Visual.


Membentuk corak haiwan dengan menggunakan daun:




Langkah-langkah membuat payung terjun:

1. Menyediakan bahan dan alat seperti beg plastik, ranting kayu yang halus, benang, seketul batu kecil, gunting dan pen.

2. Menguntingkan plastik kepada dua bahagian.
3. Gunakan pen untuk membuat lima tanda di pinggir plastik. 
4. Ikatkan benang pada bahagian tengah ranting kayu.
5. Cucukkan ranting kayu yang telah diikat dengan benang pada plastik.
6. Tarikkan kelima-lima benang supaya seimbang dan ikatkannya dengan seketul batu kecil atau keratan kayu yang tebal.
7. Murid menunjukkan hasil karyanya dengan gembira.

8. Payung terjun yang berjaya berterbangan.

Saturday 12 November 2011

INSPIRASI DAN IMAGINASI KANAK-KANAK


Kanak-kanak merupakan golongan yang kaya dengan inspirasi, aspirasi dan imaginasi. Namun begitu, jika mereka tidak berupaya memaparkan dalam bentuk kata-kata atau susunan perkataan yang berkesan maka kita tidak akan memahami apa yang ingin disampaikan oleh mereka. Lukisan merupakan media atau alat perantara komunikasi yang gemar digunakan oleh kanak-kanak terutamanya meluahkan inspirasi, aspirasi dan imaginasi mereka. Berpandukan hasil kerja murid, kita mampu menyelami dan menyelusuri perasaan murid-murid kita.

Berikut adalah ulasan saya tentang hasil kerja dua orang murid iaitu Lai Min Xuan dan Akmal bin Harikh.

Tajuk : Rumah Idamanku


Objek-objek seperti rumah, pokok dan rumput yang hijau, pokok bunga, awan dan matahari dan burung-burung yang berterbangan merupakan objek-objek yang tidak dapat dipisahkan dari kotak imaginasi kanak-kanak. Dari sini, jelaslah kehidupan kanak-kanak adalah terlalu akrab dengan objek-objek tersebut membuat corak inspirasi, imaginasi dan kreativiti mereka juga turut cenderung ke arah itu. Lai Min Xuan telah menggambarkan sebuah rumah yang cantik, persekitaran yang menghijau dan nyaman serta sekeluarga yang bahagia sebagai hasratnya dalam memenuhi konsep “Rumah Idamanku”.



Biasanya murid akan mewarnani rumah Melayu yang diperbuat daripada papan dengan warna coklat sahaja. Tetapi pelajar ini telah menunjukkan kekreatifan dan keberaniannya dalam bermain dengan warna. Tingkap dan pintu rumah idamannya “dicatkan” dengan warna yang cerah dan menarik serta dihiasi dengan corak yang cantik. Budak Melayu yang berdiri di tepi rumah dengan wajah yang riang menandakan kepuasan dan kebanggaannya dalam membina rumah idamanya yang cantik dan menarik selain dari objek-objek sampingan seperti pokok yang berbuah, bunga, awan dan matahari.

Sunday 6 November 2011

KANDUNGAN KURIKULUM SENI VISUAL SEKOLAH RENDAH

Dunia Seni Visual Thn 2
Kurikulum Seni Visual untuk sekolah rendah mengandungi empat bidang iaitu menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan serta mengenal kraf tradisional. Organisasi kandungan dalam empat bidang tersebut disusun berasaskan kepada empat standard kandungan iaitu persepsi estetik, aplikasi seni, ekspresi kreatif, dan apresiasi seni. Standard pembelajaeran digubal dan diperincikan bagi tujuan pengajaran berasaskan standard pembelajaran.

Standard Kandungan 1 : Persepsi Estetik
Standard kandungan ini membolehkan murid membuat persepsi dan memahami bahasa seni visual (unsur seni dan prinsip rekaan) yang terdapat pada alam ciptaan Tuhan, objek buatan manusia, dan karya seni.

Standard Kandungan 2: Aplikasi Seni
Standard kandungan ini membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan, pemahaman, dan bahasa seni visual menerusi penentuan media dan teknik dalam aktiviti seni.

Standard Kandungan 3: Ekspresi Kreatif
Standard kandungan ini mengaplikasikan pengetahuan dan kefahaman bahasa seni visual menerusi penzahiran idea melalui pelbagai sumber, kajian, dan teknologi dalam penghasilan karya seni.

Standard Kandungan 4 : Apresiasi Seni Visual
Standard kandungan ini membolehkan murid membuat apresiasi terhadap karya sendiri dan rakan berpandukan bahasa seni visual, sejarah seni, dan budaya. Murid juga boleh membuat penghayatan dan penghargaan seni warisan serta hubung kait seni visual dengan disiplin ilmu yang lain, kehidupan, dan kerjaya.


Contoh Aktiviti Pendidikan Seni Visual

Bidang   :   Mengambar
Aktiviti    :  Lukisan
Tema     :  Objek Buatan Manusia
Tajuk      :  Haiwan Zaman Purba
Media     :   Bahan : Kertas lukisan, pensel dan pensel warna atau warna poster
Langkah-langkah :
  1. Lakarkan reka dinosaur.
  2. Lukiskan perinciannya dan latar belakang.
  3. Warnakan  lukisan dengan pensel warna.
Hasil Karya Murid:



Bidang   :   Membuat corak dan rekaan
Aktiviti    :  Cetakan
Tema      :  Alam Semula jadi
Tajuk       :  Gambar serangga dengan menggunakan cetekan jari
Media     :   Bahan  : Kertas lukisan dan warna poster
Langkah-langkah :
  1. Sapukan warna poster pada jari.
  2. Membuat beberapa cetakan jari dan mempelbagaikan saiz pada permukaan kertas.
     3.   Cetakan jari yang dibuat adalah berdasarkan bentuk-bentuk serangga tertentu.
     4.   Lukiskan perinciannya dengan pensel atau pena hitam.

Hasil Karya Murid:



Bidang   :   Membentuk Dan membuat Binaan
Aktiviti    :  Topeng muka
Tema     :  Alam Semula jadi
Tajuk      :  Muka Haiwan
Media     :  Alat      :  Gunting
                   Bahan  :  Pensel warna, kad manila, gam, benang, gelang getah atau tali
Langkah-langkah :
1.      Lukis rupa haiwan.
2.      Gunting permukaan kad manila untuk mendapatkan rupa haiwan.
3.      Mewarna dan menampalkan rupa topeng tersebut.
4.      Tebuk lubang pada bahagian tepi kiri dan kanan bagi memasukkan tali atau gelang getah.
Hasil Karya Murid:   
           

Bidang   :   Mengenal Kraf Tangan Tradisional
Aktiviti    :  Anyaman
Tema     :  Objek Buatan Manusia
Tajuk      :  Alas meja
Media    :  Alat      :  Gunting, pembaris
                  Bahan  :  Kertas warna
Langkah-langkah :   
            1.  Lipatkan kertas warna dan lukiskan garisan-garisan jarak 2 cm.
            2.  Guntingkan garisan yang dilukis.
            3.  Sediakan jaluran kertas dengan kelebaran 2 cm dan membuat anyaman.
            4.  Guntingkan bahagian tepi anyaman yang berlebihan supaya kelihatan kemas.
Hasil Karya Murid: